Berikut adalah tahap sokongan pengundi sehari sebelum pengundian PRU15 berdasarkan kaji selidik terkini melalui kaedah panggilan telefon interactive voice response (IVR).
Pengundi ditanya gabungan mana akan diundi dalam PRU15 ini.
Kaji selidik dijalankan pada hari Rabu (16 November) dan Khamis (17 November) melibatkan 1,226 pengundi berdaftar di seluruh negara yang dipilih mengikut strata pengundi berdasarkan jantina, umur, kaum, pecahan bandar/desa, latar belakang ekonomi dan seterusnya diberikan pemberat mengikut jumlah pengundi bagi setiap strata di seluruh negara.
Margin kesilapan (margin of error) adalah 2.8%.
Kaedah sampel sebegini membolehkan kaji selidik memberi gambaran tepat yang mewakili (representative) semua pengundi berdasarkan strata masing-masing.
Dapatan-dapatan utama sehari sebelum PRU15:
Sokongan pengundi Melayu kepada UMNO/BN berada di paras terendah di dalam sejarah iaitu 26.7%. Tahap sokongan pengundi Melayu menjelang PRU14 adalah 33.6% yang menunjukkan keadaan UMNO/BN adalah lebih parah sekarang berbanding PRU14.
Sokongan pengundi Melayu kepada PH dan PN adalah hampir sama iaitu di antara 22% ke 23%. Tahap sokongan Melayu kepada PH kali ini adalah lebih tinggi dari PRU14 (menjelang hari mengundi).
Jumlah pengundi Melayu yang belum membuat keputusan meningkat dari minggu lepas kepada 24%, iaitu pertambahan 4% dalam masa seminggu. Ini menunjukkan lebih ramai pengundi Melayu menukar keputusan dari mengundi UMNO/BN (minggu lepas) kepada “Belum buat keputusan” yang membayangkan peralihan undi Melayu kepada PH.
Sokongan pengundi Cina dan India kepada PH telah kembali ke paras PRU14.
Sokongan keseluruhan pengundi kepada PH mengatasi sokongan kepada UMNO/BN dan PN di semua peringkat umur pengundi. Peningkatan paling ketara ialah di kalangan pengundi >55 tahun (PH mendahului pada paras 36% berbanding BN – 31% dan PN – 11%), diikuti dengan kumpulan pengundi 25-54 tahun (PH mendahului pada paras 30% berbanding BN – 22% dan PN – 18%).
Sokongan keseluruhan pengundi muda 18-24 tahun adalah hampir sama bagi ketiga-tiga gabungan iaitu dalam julat 20% – 25%.
Jika pola sokongan ini tidak berubah menjelang hari mengundi esok dan jumlah kehadiran melebihi 75%, PH dijangka akan dapat memenangi lebih dari 100 kerusi Parlimen di seluruh negara.
Oleh itu, untuk meneruskan gelombang ini, saya menjemput semua rakyat Malaysia untuk menyertai saya, Anwar Ibrahim dan pimpinan KEADILAN/PH di Ceramah Mega Grand Finale #AyuhMalaysia #KitaBoleh malam ini (Jumaat, 18 November 2022) di Padang MPAJ, Pandan Indah bermula 830 malam.
Orang ramai di luar Lembah Klang boleh mengikuti siaran langsung di media sosial.
Saya doakan rakyat Malaysia terus membulatkan hati untuk membuat perubahan demi masa depan bila mengundi esok.
Sebelum ini, saya telah mendedahkan bagaimana Kementerian Kewangan menolak permohonan Kementerian Pertahanan untuk mengadakan tender terhad bagi kontrak perolehan meriam 155MM self-propelled Howitzer (SPH) dan mengarahkan supaya perolehan ini diberikan secara rundingan terus kepada sebuah syarikat yang berusia kurang dari tiga tahun pada jumlah tender sebanyak RM854,345,900.
Saya juga telah menyebut sebelum ini bahawa syarikat ini ada hubung kait dengan Timbalan Menteri Pertahanan sendiri, iaitu Ikmal Hisyam Abdul Aziz, calon Perikatan Nasional bagi Parlimen Tanah Merah.
Untuk membawa kembali perhatian orang ramai kepada perkara ini, saya sertakan dokumen-dokumen yang mengesahkan bahawa tender ini telah diarahkan untuk diberikan secara rundingan terus:
SURAT MENOLAK PERMOHONAN TENDER TERHAD DAN ARAHAN RUNDINGAN TERUS DIBERIKAN
SURAT NIAT (LETTER OF INTENT) KEPADA MA ANALYTICS SDN BHD BERTARIKH 25 JULAI 2022
SURAT SOKONGAN PERDANA MENTERI AGAR PEROLEHAN INI DIBERIKAN KEPADA MA ANALYTICS SDN BHD
Perkara ini tidak dinafikan dengan bukti yang kukuh oleh Ikmal Hisyam Abdul Aziz. Kementerian Pertahanan pula hanyalah menyebut bahawa tender ini belum dimuktamadkan tetapi tidak menafikan bahawa Surat Niat sebenarnya telah dikeluarkan kepada MA Analytics.
Hari ini, saya ingin mengemukakan bukti bahawa MA Analytics Sdn Bhd adalah syarikat yang berkait rapat dengan Ikmal Hisyam Abdul Aziz melalui anak (Ikmal Hazlan Ikmal Hisyam) dan isteri (Norihan Ayob).
Saya juga telah mengesahkan melalui laman Facebook Norihan Ayob bahawa penama adalah isteri kepada Ikmal Hisyam Abdul Aziz, seperti petikan skrin di bawah:
Kaitan di antara MA Analytics Sdn Bhd dengan anak dan isteri Ikmal Hisyam Abdul Aziz adalah melalui syarikat-syarikat seperti berikut:
MA Analytics Sdn Bhd dimiliki secara bersama oleh Nadzrin Azrai bin Ruslan (50% saham) dan Abdul Karim bin Hamzah (50%)
Abdul Karim bin Hamzah adalah rakan kongsi kepada Ikmal Hazlan Ikmal Hisham dalam sebuah syarikat bernama Ilhamin Trading Sdn Bhd
Seorang lagi rakan kongsi kepada Ikmal Hazlan Ikmal Hisham iaitu Ahmad Azmi Noordin adalah rakan kongsi kepada isteri Ikmal Hisham iaitu Norihan Ayob dalam syarikat Seyakin Holdings Sdn Bhd
Seorang lagi rakan kongsi kepada Ikmal Hazlan Ikmal Hisham iaitu Mohamed Nazari Noordin ada saham di dalam syarikat anaknya (Mohamed Ridzwan Mohamed Nazari) iaitu Hikmat Abadi Sdn Bhd
Syarikat ini (Hikmat Abadi Sdn Bhd) mempunya alamat yang sama dengan MA Analytics Sdn Bhd iaitu Suite 31-09, Q Sentral.
Saya percaya bukti-bukti ini cukup untuk menunjukkan bahawa MA Analytics Sdn Bhd, syarikat setahun jagung yang diberikan Surat Niat untuk membekalkan meriam SPH kepada Angkatan Tentera Malaysia adalah berkait dengan Ikmal Hisham Abdul Aziz melalui anak dan isterinya.
Pendedahan saya hari ini membuktikan bahawa bukan sahaja projek LCS telah mengalami masalah, projek persenjataan yang lain seperti meriam SPH juga telah diberikan (melalui Surat Niat) kepada syarikat yang berkaitan dengan Timbalan Menteri Pertahanan sendiri.
Perkara ini tidak ubah seperti apa yang pernah berlaku semasa projek LCS dahulu apabila syarikat Alizes Marine Ltd dan Mega P Asia Sdn Bhd yang berkait dengan Latiff Ahmad, mantan Timbalan Menteri Pertahanan mendapat tender-tender perbekalan projek LCS.
Kedua-dua Latiff Ahmad dan Ikmal Hisham Abdul Aziz adalah pemimpin kanan Perikatan Nasional.
Sudah sampai masanya Muhyddin Yassin berhenti mendabik dada kononnya Perikatan Nasional adalah gabungan yang bersih.
Saya mengucapkan tahniah kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang telah memulakan siasatan terhadap Ketua Pemuda PAS Sik, Shahiful Nasir yang dalam ceramahnya menyatakan mereka yang mengundi Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) akan masuk neraka.
Saya mengambil maklum laporan-laporan media yang memetik kenyataan Pengarah Operasi PRU15 Bukit Aman Hazani Ghazali mengenai perkara ini.
Pun begitu, saya akan meneruskan tindakan membuat laporan polis terhadap Shahiful Nasir dan PAS atas kenyataan itu dan kenyataan-kenyataan lain yang sering diucapkan di dalam program dan ceramah-ceramah mereka yang bertujuan (sama ada) menimbulkan kebencian terhadap kepelbagaian kaum di negara ini, kaum-kaum lain, agama-agama lain atau pun yang menakutkan penganut Islam untuk mengundi kaum lain dengan ugutan agama.
Tema dan kandungan kempen PAS selama ini sering berkisar kepada mesej-mesej berikut:
Bahawa agama Islam di negara ini sedang diancam kecualilah pengundi Melayu memilih mereka dalam pilihanraya kerana parti-parti lain seperti PH dan BN tidak cukup pegangan Islam seperti mereka di dalam PAS
Bahawa jika parti-parti lain seperti PH menang dalam pilihanraya, amalan umat Islam seperti azan akan dihapuskan
Bahawa pengundi Islam yang mengundi parti-parti lain seperti PH dan BN akan masuk neraka
Tema dan pendekatan kempen yang bermain sentimen perkauman dan keagamaan ini berbahaya kerana ia mempertaruhkan keamanan dan keharmonian pelbagai bangsa yang menjadi asas negara ini.
Sementara kempen yang menunggang Islam seperti ini memudahkan kerja PAS dan Perikatan Nasional kerana mereka tidak perlu bersusah payah meyakinkan rakyat mengenai kebolehan mereka mentadbir, kempen sebegini memberi ruang kepada pandangan pelampau menjadi arus perdana.
Setiap kali kandungan kempen yang berbahaya sebegini muncul dan mengundang kemarahan orang ramai, pimpinan PAS mencuci tangan sedangkan kempen-kempen sebegini dijalankan di atas pentas mereka, atas jemputan mereka dan dari mulut aktivis atau pimpinan mereka sendiri.
Apabila pelakon Zul Huzaimy dipetik mengugut untuk “menyembelih kafir harbi” dalam satu program anjuran PAS (dan dirasmikan pimpinan kanan PAS Terengganu) di Chukai, dengan mudah Naib Presiden PAS, Sanusi Md Nor mencuci tangan kononnya ucapan itu bukan dari pimpinan PAS.
Sudah sampai masanya rakyat Malaysia pelbagai bangsa memandang serius kandungan dan tema kempen PAS/Perikatan Nasional yang terlalu kuat membina kebencian kepada orang bukan Islam demi untuk mendapatkan undi.
Jika KEADILAN dan PH menang dalam PRU15, antara tumpuan utama ialah untuk menggubal, melaksana dan menguatkuasakan satu undang-undang cegah kebencian (anti hatred legislation) atas dasar kaum, agama, jantina dan apa-apa perkumpulan lain.
Mana-mana pihak yang menyerang dan bermain sentimen agama, perkauman dan jantina sewajarnya diambil tindakan keras kerana ia boleh menjejaskan ketenteraman awam. Dengan adanya undang-undang ini, saya berharap kita dapat meredakan politik kebencian yang dimainkan oleh PAS/Perikatan Nasional dan menumpukan perhatian kepada usaha membina ekonomi negara dan menyelesaikan masalah rakyat.
Bagi rakyat Malaysia yang bencikan politik kebencian seperti ini, saya jemput hadir bersama saya esok (Selasa, 15 November 2022) jam 10 pagi di perkarangan Ibupejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya sebagai tanda sokongan apabila saya membuat satu laporan polis terhadap Shahiful Nasir, Zul Huzaimy dan pimpinan PAS kerana kandungan kempen berbahaya yang boleh menggugat ketenteraman awam.
Saya meneliti pelancaran manifesto Perikatan Nasional (PN) oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam. Modal utama PN yang cuba disampaikan oleh Muhyiddin semalam berkisar kepada beberapa perkara sahaja:
Tawaran-tawaran populis sebagai gula-gula pilihanraya untuk memikat pengundi muda seperti pengurangan bayaran PTPTN kepada kumpulan sasar yang lebih besar
Rekod penyelewengan PN yang dikatakan lebih bersih dari BN dan PH
Sebagai Pengarah Pilihanraya dan jurucakap kempen PRU15 bagi pihak KEADILAN, adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memberi reaksi awal kepada manifesto PN semalam. Saya yakin kepincangan-kepincangan pentadbiran PN selama 18 bulan dan tawaran manifesto akan terus mendapat perhatian rakyat sepanjang tempoh berkempen dua minggu ini.
Bidasan awal saya pada hari ini mencakupi perkara-perkara berikut:
PERTAMA: REKOD PENTADBIRAN PN YANG GAGAL SELAMA 18 BULAN
Pentadbiran Muhyiddin dan PN akan diingati kerana memecahkan beberapa rekod dalam sejarah negara kita.
Ia pentadbiran seorang Perdana Menteri yang paling pendek dalam sejarah negara iaitu 18 bulan.
PN juga ditubuhkan atas pengkhianatan wakil-wakil rakyat PH dan BN yang memesongkan mandat rakyat dalam PRU14 demi jawatan dalam kerajaan. Hasilnya adalah sebuah kerajaan persekutuan yang tidak stabil kerana mengumpulkan kembali musuh-musuh politik yang berpecah belah dari UMNO, BERSATU dan PAS tetapi duduk dalam satu kerajaan demi jawatan.
Sebab itu, tempoh pentadbiran 18 bulan PN diingati dalam lipatan sejarah negara sebagai tempoh yang paling sengsara dan paling tidak stabil.
Di bawah pentadbiran Muhyiddin dan PN sebagai Perdana Menteri, rakyat melalui dua tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang panjang yang memusnahkan ekonomi rakyat biasa.
Tindakan-tindakan itu tidak pula berjaya menguruskan wabak Covid-19 dengan baik apabila negara mencatatkan 4.92 juta kes dan kematian 36, 482 orang (yang memuncak semasa PN mentadbir negara). Ini adalah rekod kematian yang paling tinggi yang berpunca dari satu wabak yang pernah dicatatkan dalam sejarah negara kita.
Kegagalan menguruskan wabak Covid-19 juga meninggalkan kesan ekonomi yang berpanjangan yang memusnahkan kehidupan rakyat terbanyak. Tempoh sengsara itu akan diingati selama-lamanya dengan peristiwa #BenderaPutih dan #KitaJagaKita apabila rakyat terpaksa bantu-membantu dalam serba kekurangan untuk meringankan beban golongan termiskin.
Pentadbiran Muhyiddin dicemarkan lagi apabila beliau menggunakan darurat untuk kekal berkuasa. Ia satu lagi rekod penggunaan darurat semasa aman yang terpanjang dalam negara kita sehingga menimbulkan kenyataan-kenyataan yang dilihat bercanggah dengan institusi raja-raja.
Muhyiddin akhirnya terpaksa meletakkan jawatan di kala jumlah kematian rakyat akibat Covid-19 semakin memuncak.
KEDUA: TAWARAN DALAM MANIFESTO TIDAK DILAKSANAKAN SEMASA MENJADI KERAJAAN
Antara tawaran-tawaran populis adalah potongan pembayaran balik PTPTN kepada golongan sasaran yang lebih besar iaitu termasuk peminjam yang tidak mendapat ijazah kelas pertama.
Muhyiddin dan PN lupa bahawa sejak 2018, BERSATU dan PN mengawal hala tuju dan pentadbiran PTPTN sepenuhnya melalui pemimpin kanan BERSATU iaitu Wan Saiful Wan Jan. Beliau adalah antara lantikan politik dari BERSATU yang pertama sebagai Pengerusi PTPTN.
Sepanjang empat tahun memimpin PTPTN, tidak ada satu penyelesaian menyeluruh yang dibawa Wan Saiful untuk menangani kemelut pembiayaan pendidikan tinggi negara. Akibat pentadbirannya yang lemah, PTPTN menjadi bahan kritikan rakyat yang hebat.
Logiknya, sebarang tawaran yang hendak dibuat mengenai PTPTN boleh dibuat serta merta dahulu semasa PN menduduki kerusi Perdana Menteri dan Pengerusi PTPTN.
Ia tidak berlaku.
Sebab itu, adalah menjadi kebodohan untuk cuba memikat hati rakyat sekali lagi mengenai tawaran-tawaran PTPTN kerana peluang keemasan itu telah diberikan kepada PN selama empat tahun.
Mereka gagal sebelum ini dan mereka akan gagal jika mereka dekat dengan PTPTN sekali lagi.
Lebih-lebih lagi apabila tawaran-tawaran itu tidak dibuktikan dapat dilaksanakan dalam keadaan kekangan kewangan yang ada. Sekarang pun, PTPTN terpaksa meminjam dari institusi kewangan swasta pada kadar komersial dan memberi pinjaman pada kadar yang lebih rendah, tanpa berjaya mengutip pinjaman sepenuhnya. Ia menyebabkan kedudukan kewangan PTPTN semakin pincang setiap tahun.
Jika sekarang pun PTPTN tidak mampu mempunyai aliran tunai yang stabil, bagaimana pula ia boleh berbelanja lebih banyak untuk memberi pelepasan pinjaman kepada golongan yang lebih besar.
KETIGA: PIMPINAN BERSATU/PN TERPALIT DENGAN SKANDAL BESAR NEGARA
Sehingga kini, Muhyiddin dan PN tidak pun menafikan keterlibatan pimpinan-pimpinan kanannya dalam skandal-skandal mutakhir negara.
Umum mengetahui bahawa Latiff Ahmad, bekas menteri BERSATU adalah tokoh politik yang dinamakan di dalam laporan audit forensik mengenai kelewatan projek LCS.
Syarikat Alizes Marine Ltd, sebuah syarikat palsu yang dinamakan terlibat menyeleweng sehingga lebih RM200 juta peruntukan projek-projek pertahanan laut negara adalah syarikat yang dikaitkan dengan Latiff Ahmad.
Sehingga kini, BERSATU tidak memberi sebarang penjelasan atau menafikan perkara ini. Latiff Ahmad pula tidak menyaman saya kecuali membuat satu laporan polis. Tindakan BERSATU seolah-olah mahu perkara ini dilupakan begitu sahaja oleh rakyat.
Dalam tempoh berkempen ini, saya akan tunjukkan pula bagaimana seorang lagi pimpinan kanan BERSATU, Ikmal Hisham Abdul Aziz (bekas Timbalan Menteri Pertahanan) terpalit dengan kontroversi perbekalan meriam artileri (self-propelled Howitzer, SPH) yang turut menjadi isu besar di kalangan pengurusan angkatan tentera.
Sehingga kini juga, Muhyiddin dan PN tidak berjaya menangkis bukti-bukti yang telah ditunjukkan setakat ini.
Sebab itu, Muhyiddin dan PN adalah golongan terakhir yang boleh mendabik dada kononnya mereka bersih. Semasa KEADILAN mengambil langkah berani mengisytiharkan harta, tidak ada seorang pun pemimpin dari BERSATU yang berani mengisytiharkan harta sedangkan pandangan umum rakyat ialah ahli politik yang tidak berani mengisytiharkan harta ada sesuatu yang disembunyikan.
Saya menyeru supaya pengundi-pengundi tidak lupa rekod kegagalan pentadbiran Muhyiddin dan PN selama 18 bulan.
Walaupun tempoh 18 bulan itu bunyinya pendek, ia adalah tempoh yang paling sengsara yang mengakibatkan kematian yang paling tinggi dalam sejarah negara kita.
Memberikan undi kepada PN samalah seperti kita mengundang kembali pengalaman sengsara 18 bulan itu.
Saya mengalu-alukan segala tumpuan yang diberikan kepada langkah KEADILAN mengisytiharkan harta. Setakat ini, majoriti calon-calon KEADILAN telah mengisytiharkan harta dan dijangka semua akuan berkanun akan dimuat naik di laman www.calonkeadilan.org dalam masa beberapa hari sahaja lagi.
Seperti yang dijangka, reaksi dari BN dan PN adalah untuk menimbulkan perkara-perkara remeh temeh berkenaan pengisytiharan harta saya. Saya sudah menjangkakan reaksi mereka dan itu memberi bola tanggung kepada kami dalam kempen PRU15.
Ada beberapa perkara yang ketara di mata pengundi ekoran dari reaksi BN dan PN kepada pengisytiharan harta saya:
BN dan PN tidak berani mengisytiharkan harta. Dalam keadaan rakyat menilai untuk memilih calon-calon yang bukan sahaja mengaku bersih tetapi dibuktikan bersih, kegagalan BN dan PN mengisytiharkan harta membezakan kredibiliti anti-rasuah KEADILAN dan parti-parti BN dan PN
Mereka menyerang pengisytiharan harta saya dengan perkara remeh temeh untuk mengalihkan perhatian dari keengganan mereka mengisytiharkan harta
Perkara remeh temeh yang ditimbulkan menunjukkan kebodohan kerana jelas mereka tidak faham mengenai industri teknologi dan suasana pelaburan dalam syarikat-syarikat pemula (startups) sedangkan BN dan PN adalah kerajaan yang sepatutnya memajukan industri syarikat pemula di negara ini
Pun begitu, saya mengambil kesempatan untuk menjawab beberapa perkara yang ditimbulkan. Bagi saya, serangan-serangan dari BN dan PN ini memberi peluang kepada saya memberi kesedaran kepada rakyat mengenai potensi ekonomi digital yang sepatutnya menjadi tumpuan negara.
Tiga perkara utama yang ditimbulkan oleh BN dan PN adalah:
Soal nilaian (valuation) saham-saham saya di dalam syarikat pemula yang dituduh tidak masuk akal kerana mereka mendakwa syarikat pemula mengalami kerugian
Soal punca sebenar harta bersih saya bernilai RM18 juta kerana pada pandangan mereka syarikat pemula tidak boleh mempunyai nilaian sebegitu tinggi
Tuduhan dari pimpinan BERSATU, Rashid Hasnon kononnya saya menggunakan sumbangan orang ramai untuk kekayaan peribadi
Saya akan jawab satu persatu seperti berikut:
PERTAMA: NILAIAN SYARIKAT PEMULA
Nilaian syarikat pemula yang berasaskan teknologi bukanlah bergantung kepada keuntungan tahunan semata-mata.
Secara umumnya, nilaian sesebuah syarikat pemula bergantung kepada:
Potensi platform atau teknologi yang dibangunkan dapat dikembangkan dengan cepat di banyak pasaran dan digunakan oleh ramai pengguna (adoption scalability) yang bergantung kepada satu kriteria dipanggil product-market fit
Prestasi menjana perolehan dari awal yang berkembang pesat setiap tahun (revenue growth)
Kemampuan mengimbangi pertumbuhan perolehan dan mengawal perbelanjaan supaya syarikat pemula ada tunai yang mencukupi untuk masa yang panjang (cash sustainability)
Ada pelbagai model kewangan yang digunakan secara piawai untuk menilai syarikat-syarikat pemula. Model-model ini berbeza mengikut kehendak pelaburan firma modal teroka (venture capital firm). Pun begitu, secara umumnya, ada beberapa model kewangan terkenal yang digunakan oleh firma-firma modal teroka, termasuklah:
Annual recurring revenue multiples of 15x to 25x (based on worldwide data of transactions in 2018 to 2021) for private cloud startups that are growing100% to 300% annually; and about 5x to 10x for public cloud startups that are growing about 30% annually (Sumber: Bessemer Venture Partners)
Revenue multiples of 10x to 20x times and more for the fast-growing, cloud-based businesses, in contrast to multiples of 1x to 5x for the rest (Sumber: Crunchbase)
Revenue multiples of 10x to 15x for super high revenue growth of 100% to 300% year-on-year (Sumber: Microcap.co)
Apa pun kaedah nilaian yang digunakan oleh pelabur-pelabur, akhirnya harga saham yang diterbitkan dan dilanggan oleh pelabur bergantung kepada persetujuan harga di antara syarikat pemula dan pelabur atas prinsip “willing buyer and willing seller”.
INVOKE mempunyai dua buah anak syarikat. Apabila INVOKE menerbitkan saham-saham baru kepada pelabur, pelabur membeli saham INVOKE dan bukannya saham kumpulan syarikat (konsep saham kumpulan tidak wujud).
Nilaian yang dibuat adalah ke atas INVOKE sebagai sebuah syarikat, bukannya kepada kumpulan syarikat (kerana anak-anak syarikat boleh dijual kepada syarikat-syarikat lain di masa hadapan).
INVOKE mencatat keuntungan setiap tahun sejak 2020. INVOKE hanya tidak mencatat keuntungan pada tahun pertama menjadi syarikat komersial iaitu 2019.
Keuntungan INVOKE mengikut tahun: tahun kewangan 2020 (RM507,000), tahun kewangan 2021 (RM653,000) dan jangkaan keuntungan tahun kewangan 2022 (RM1.5 juta). Di kalangan syarikat pemula dan syarikat teknologi di seluruh dunia, keupayaan menjana keuntungan dari mula adalah satu prestasi yang baik kerana lebih 90% syarikat pemula tidak pun menjana keuntungan selepas lima tahun beroperasi.
Propaganda BN dan PN kononnya INVOKE mengalami kerugian hanyalah kerana mereka tidak faham membaca penyata kewangan yang penuh. Kerugian INVOKE hanyalah di peringkat kumpulan dan kerugian itu semakin berkurang dari setahun ke setahun, serta dijangka mencatat keuntungan terkumpul di peringkat kumpulan dalam masa beberapa tahun akan datang.
Terbitan saham terakhir INVOKE dalam 2022 adalah pada nilaian RM75 juta. Nilaian ini sebenarnya lebih rendah dari nilaian rasmi yang dibuat oleh Craddle, sebuah agensi rasmi kerajaan yang meletakkan nilaian INVOKE pada harga RM105 juta.
Bukti nilaian ini boleh diperolehi dari laman www.mystartup.gov.my yang dikendalikan Craddle yang meletakkan nilaian INVOKE pada harga USD25.2 juta (sekitar RM105 juta).
Nilaian ini dibuat oleh sebuah firma penilai bebas antarabangsa iaitu VentureCapInsights (yang boleh disemak di www.venturecapinsights.com )
Semua terbitan saham-saham INVOKE yang telah dilanggan oleh pelabur-pelabur dalam dan luar negara telah didaftarkan di Suruhanjaya Syarikat Malaysia dan diaudit sepenuhnya.
Pelabur-pelabur antarabangsa yang memegang saham di dalam INVOKE juga melantik firma penilai bebas sebelum membuat pelaburan di dalam INVOKE.
KEDUA: PUNCA MODAL YANG DILABURKAN DI DALAM INVOKE
Tuduhan yang dibawakan oleh Rashid Hasnon, calon BERSATU untuk Batu Pahat lebih berniat jahat untuk menimbulkan persepsi kononnya saya menyelewengkan sumbangan orang ramai untuk mengkayakan diri sendiri.
Saya mencecah simpanan tunai melebihi dua juta ringgit menjelang umur saya 30 tahun kerana rekod kerjaya yang baik. Saya memulakan kerjaya sebagai akauntan bertauliah di London dan mendapat gaji dalam pound.
Apabila saya kembali ke Malaysia, saya dinaikkan pangkat dengan begitu cepat dalam masa dua tahun.
Pada umur 26 tahun, gaji permulaan saya di PETRONAS adalah RM3,750. Setelah enam bulan, saya disahkan sebagai pengurus dan gaji naik kepada RM11,000 sebulan. Seterusnya saya dinaikkan pangkat sebagai Ketua Bahagian Perancangan Petrokimia pada umur 27 tahun dan gaji RM25,000 sebulan.
Pada ketika itu juga, PETRONAS memendekkan tempoh perkhidmatan dan umur persaraan dari 60 tahun ke 55 tahun. Saya dibayar pampasan RM400,000 pada umur 29 tahun untuk tempoh 5 tahun perkhidmatan yang dipendekkan.
Saya juga berada dalam industri minyak dan gas pada ketika harga minyak naik mendadak dan bonus tahun yang besar. Sepanjang 7 tahun saya berada di PETRONAS, bonus tahunan purata saya adalah di antara sepuluh hingga dua belas bulan setahun.
Sebab itu, saya mempunyai simpanan yang mencecah dua juta ringgit menjelang umur 30 tahun dan simpanan ini yang digunakan untuk memulakan syarikat pemula.
Tuduhan yang dibuat oleh Rashid Hasnon itu telah pun dimainkan oleh kumpulan Azmin yang masih berada di dalam KEADILAN dalam tahun 2017 (mereka semuanya kini bersama Azmin di dalam BERSATU).
Saya telah menunjukkan bukti secara terperinci di blog saya dengan berkongsi senarai keluar masuk wang di dalam akaun INVOKE.
Penyata kewangan dan percukaian INVOKE juga telah diaudit sepenuhnya dan difailkan dengan pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Syarikat, LHDN dan Jabatan Kastam.
Kesemua hasil INVOKE sehingga 2018 telah dibelanjakan sepenuhnya untuk membiayai kempen PRU14 yang menyumbang kepada kemenangan PH dan memberi tempat kepada bekas-bekas wakil rakyat KEADILAN yang melompat seperti Rashid Hasnon sendiri.
Setelah PRU14 berakhir dan semua hasil dibelanjakan sepenuhnya, saya tidak ada pilihan lain kecuali menukar model INVOKE menjadi komersial dan menerbitkan saham-saham baru kepada pelabur untuk membolehkan kakitangan INVOKE seramai 150 orang kekal dengan kemahiran mereka.
Semua rekod-rekod ini, dari gaji dan pendapatan saya, penyata kewangan dan percukaian INVOKE ada dengan semua pihak berkuasa.
Sebagai tokoh pembangkang yang lantang, sekiranya ada penipuan atau penyelewengan, sudah tentu sudah lama saya disiasat dan didakwa di mahkamah oleh kerajaan BN dan PN, seperti mana Najib Razak didakwa akibat kesalahan melibatkan LHDN.
Saya percaya penjelasan-penjelasan saya semakin menyerlahkan kebodohan pihak lawan yang tidak ada modal kerana enggan mengisytiharkan harta.
Saya juga berharap anak-anak muda semakin memahami bahawa jalan terbaik untuk mencari kekayaan ialah dengan membina perniagaan yang berdaya saing hingga boleh menarik pelabur antarabangsa, bukannya dengan menyeleweng wang rakyat seperti yang dibuat ahli-ahli politik.